KONSEP SILAT CEKAK

Silat Cekak Hanafi ialah sejenis silat bela diri yang benar-benar asli, bukannya sejenis silat permainan atau Silat Olahraga. 

Silat Cekak Hanafi mempunyai kaedah-kaedah yang tetap dengan mempunyai buah-buah pukulan dan kunci-kunci tangkapan yang cukup dan kemas. Pergerakan dan sistem silat ini adalah berasaskan gerak geri semulajadi manusia yang berdasarkan fikiran yang sihat, jiwa yang tenang dan nyata kesesuaiannya dengan prinsip agama Islam. 

Pelajarannya lebih menitikberatkan dari segi mempertahankan diri supaya terlatih dengan keberanian, bukan mengganas atau menceroboh. Hanya bila terpaksa demi keselamatan diri barulah Silat Cekak Hanafi menyerang. 

Silat Cekak Hanafi menunggu serangan dengan berdiri lurus( berdiri sembahyang ) dan tidak mengelak ke kiri dan ke kanan bahkan mara ke hadapan di dalam gerak yang satu, makan gerak dalam gerak, sebab sebenarnya hakikat Silat Cekak Hanafi ialah Silat Gerak. 

Yang paling istimewa dan ganjil sekali di dalam kaedah serangannya; dikala ia menyerang dan jika musuh mengelak, pasti kena dan sekiranya ditepis pula pasti dimakannya. Tambahan pula sambil menyerang ia dapat menangkap (Cekak menyerang, Cekak menangkap ). 

Penuntut-penuntut menangkis pukulan dan tikaman senjata-senjata dengan tangan kosong sahaja. Matlamat Silat Cekak Hanafi ialah menangkis pukulan senjata-senjata sambil dapat merampas senjata lawan. 

CIRI-CIRI PEMBELAJARAN

Silat Cekak Hanafi diajar secara berpakej dan diajar sehingga tamat. Dalam kaedah biasa, pakej sehingga tamat silat ini dapat disempurnakan di dalam tempoh 6 bulan. Tempoh ini boleh diselaraskan dengan keperluan sesuatu kelas seperti di sekolah- sekolah atau di pusat-pusat pengajian tinggi. Selapas tamat, penuntut -penuntut boleh meningkatkan kemahiran secara bersendirian atau mengikuti kelas-kelas kemahiran yang diadakan dari masa ke semasa. 

Sebagai silat yang berasaskan gerakan seni, maka ia tidak memerlu dan tidak menekankan keperluan kekuatan dan tenaga luar biasa untuk mengalahkan musuh. 

Kaedah pembelajaran bersistematik dan tidak menerukkan diri dan membolehkan penuntut mempertahankan diri walaupun di tempat-tempat yang sempit seperti di atas papan sekeping. 

Di UTM, pengajian Seni Silat Cekak ini kini dapat ditamatkan dalam masa 2 semester sahaja, Insya-Allah.
 
 









KAEDAH ASAS

Kaedah asas merupakan pergerakan tangan yang menjadi asas pergerakan membuat buah. Ia mengandungi empat gerakan utama yang dipanggil kaedah 'A', 'B', 'C' dan 'D'. Keempat- empat kaedah ini dapat melindungi tubuh, dari aras kepala hingga ke kaki.

KAEDAH A

Kaedah A adalah diilhamkan daripada gerakan doa. Daripada kaedah doa ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak Hanafi sebanyak 11 buah iaitu 

  • Buah Pertama 
  • Buah Kilas Belakang 
  • Buah Kidung Kiri 
  • Buah Hentak 
  • Buah Ali Patah Atas 
  • Buah Ali Patah Sudah Pecahan Pertama 
  • Buah Selendang 
  • Buah Paras 
  • Keputusan Pasong Kemanga 
  • Buah Luncur 
  • Buah Siku Potong
KAEDAH B

Kaedah B adalah diilhamkan dari gerakan Qiam dalam sembahyang. Daripada kaedah Qiam ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak Hanafi sebanyak 5 buah iaitu : 

  • Keputusan Gayung Fatani 
  • Keputusan Sendeng Atas 
  • Buah Kuntau Jatuh 
  • Buah Gari 
  • Buah Ali Patah Sudah Pecahan Kedua
 
KAEDAH C

Kaedah C adalah diilhamkan dari gerakan rukuk dalam sembahyang. Daripada kaedah doa ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak Hanafi sebanyak 3 buah iaitu : 

  • Buah Kilas Hadapan 
  • Keputusan Terlak 
  • Keputusan Lintau
KAEDAH D

Kaedah D adalah diilhamkan oleh gerakan takbiratul ihram dalam sembahyang. Daripada kaedah doa ini maka lahirlah buah-buah pelajaran Silat Cekak Hanafi sebanyak 2 buah iaitu : 

  • Buah Kuntau Kiri 
  • Buah Hempok

KAEDAH A

KAEDAH B

KAEDAH C

KAEDAH D

 
BUAH- BUAH UNTUK MEMPERTAHANKAN DIRI

Selepas penuntut- penuntut diajar dengan kaedah asas, peringkat yang berikutnya ialah mengajar buah- buah untuk mempertahankan diri. Terdapat 21 buah pertahanan yang diajar kepada penuntut. Pengajaran buah- buah untuk mempertahankan diri ini dibahagikan kepada dua peringkat. Pertama, peringkat BUAH ASAS dan kedua peringkat BUAH JATUH. Pembahagian kepada dua peringkat ini dapat memudahkan penuntut untuk membuat kaedah- kaedah tersebut secara tepat dan selamat. Ia menjadikan proses pembelajaran tidak membahayakan pengamal, sehinggakan wanita juga dapat melakukannya dengan penuh keyakinan.

BUAH ASAS

Buah asas adalah pergerakan kaedah yang merupakan sambungan daripada kaedah asas. Pada peringkat ini, tangan dan kaki sama- sama digunakan untuk menangkis serangan lawan. Ini bermakna pada peringkat ini penuntut berupaya untuk menghindarkan serangan lawan tetapi masih belum diajar kaedah- kaedah pukulan dan kuncian yang intensif. Di sini ditunjukkan sebahagian daripada buah- buah asas. (4 daripada 21)


Buah Asas Pertama

Berasaskan daripada kaedah A untuk menghadapi serangan di bahagian dada, sasarannya adalah rusuk dan liang ketiak penyerang
 


Buah Asas Kuntau Jatuh 

Berasaskan daripada kaedah B, penyerang yang besar dan kecil pasti jatuh. Sasarannya ialah dagu atau khalkum penyerang


Buah Asas Kilas Hadapan 

Berasaskan daripada kaedah C, sasarannya ialah dada dan muka penyerang


Buah Asas Hempok 

Berasaskan daripada kaedah D, sasarannya ialah lengan dan kaki lawan

BUAH JATUH

Peringkat jatuh merupakan sambungan kepada peringkat buah asas. Apabila penuntut telah mahir membuat buah- buah asas maka ia memudahkan mereka membuat buah- buah jatuh. Pada peringkat ini setiap buah akan diajar hingga sempurna termasuk teknik- teknik pemakan dan kuncian.


Buah Jatuh Pertama

Pelipat dan tangan penyerang dikunci sementara khalkum, dada dan penyawa menjadi sasaran terakhir


Buah Jatuh Kuntau Jatuh

Buah yang dapat menjatuhkan penyerang secara cepat dengan kakinya dikunci kemas. Sasaran terakhirnya ialah penyawa penyerang
 


 Buah Jatuh Kilas Hadapan

Buah yang dapat digunakan untuk menangkis serangan tangan dari bawah termasuk layangan kerambit dan menangkis serangan kaki yang ditujukan ke perut dan ke bawah. Buah ini akan mengakibatkan tangan penyerang dikunci beserta lehernya, manakala sasaran terakhirnya ialah dada dan muka


Buah Jatuh Hempok

Istimewa untuk menghadapi serangan musuh yang ditujukan ke bahagian kepala, badan musuh akan terlangkup manakala kaki dan tangan dikunci kemas

BUAH POTONG

Selepas selesai pelajaran buah jatuh, penuntut akan memasuki pelajaran peringkat buah potong pula. Penuntut dikenakan sekali lagi ijazah dengan guru dipanggil IJAZAH POTONG.

Pada peringkat buah potong penuntut akan diajar cara- cara untuk memotong segala buah jatuh yang telah dipelajari, sekiranya ada orang yang menggunakan buah- buah tersebut terhadap mereka. Ini bermakna pada peringkat ini orang yang menyerang akan menang. Namun begitu, penuntut masih belum diajar kaedah menyerang yang sebenar.

Walaupun di peringkat ini, penuntut hanya diajar cara memotong buah- buah potong silat ini, tetapi kaedah pemotongan yang ditunjukkan boleh digunakan untuk memotong segala rupa buah tangkisan walaupun bukan daripada buah- buah silat ini.

PERINGKAT TAMAT

Selepas selesai mempelajari peringkat pelajaran buah potong, penuntut perlu menjalani majlis ijazah ketiga bersama- sama guru. Ijazah kali ketiga ini dipanggil Ijazah Tamat.

Semasa memberi buah tamat inilah baru penuntut dibenarkan bertanya mengenai bertanya mengenai kaedah- kaedah persilatan termasuk buah- buah pelajaran yang dipelajari dari cara- cara mempertahankan diri semasa sebelum belajar SIlat Cekak Hanafi. Bertanya dalam tafsiran silat ialah untuk mencuba. Mencuba di sini bukan bertujuan untuk bermegah atau menyombong tetapi lebih untuk meyakinkan penuntut terhadap kebaikan kaedah- kaedah yang telah mereka sendiri pelajari. Adalah diharapkan mereka akan merasa lebih yakin dan hilang segala keraguan semasa proses pembelajaran yang dilalui dahulu.

BUAH UMUM

Pada peringkat ini penuntut akan ditunjukkan cara- cara menggunakan kaedah Silat Cekak Hanafi dalam menghadapi gelagat musuh semasa bertempur. Beberapa kaedah serangan dan mempertahankan diri, gaya- gaya lain yang bahaya atau tampak memang bahaya akan dijadikan sebagai mata pelajaran untuk dikaji dan dianalisa. Ini termasuklah cara menagkis serangan kaki berbahaya, buah- buah pertahanan yang mengancam dan serangan serentak di antara kaki dan tangan. 


 Umum Senjata
 

[KAEDAH ASAS] [BUAH ASAS] [BUAH JATUH] [BUAH POTONG] [PERINGKAT TAMAT] [BUAH UMUM]


| Pengenalan | Sejarah | Organisasi | Matlamat | Aktiviti | Penerbitan | Wajadiri |
| Lagu | Email | Demonstrasi | Sistem Pembelajaran | Home |